Pages

Thursday, May 2, 2013

Tidak berani berhujjah guna cerca dan fitnah

Kalau lihat disegi tajuk macam nak sama dengan tajuk artikel Dr. Maza pada beberapa bulan yang lalu. Tapi sebenarnya tiada kaitan dengan isu Dr. Maza. Cuma isi mungkin ada yang nak hampir sama. Siapa yang makan gula tentulah rasa manis, tapi kalau terlalu lebih makan gula sudah tentu terkena penyakit tidak kira sakit gigi ataupun kencing manis.

Dalam setiap perkara dan masalah tidak kira masalah agama,politik dan jemaah mesti ada perbagai pendapat dan pandangan. Dan tidak semua manusia dapat perpegang pada satu pendapat. Hatta dalam masalah agama kita sendiri ada perpecahan pendapat dari perbagai mazhab. Inilah yang dikatakan masalah khilaf dan perbezaan pandangan.

Sebagai orang yang terpelajar atau lebih sinonim dengan gelaran orang yang educated sepatutnya dapat berfikir dan memahami bahawa setiap diri manusia itu tetap berbeza. Tidak kira samada berbezaan pemikiran, pegangan, prinsip dan juga lain-lain perkara. Tidak perlu kita timbulkan perkara-perkara yang tidak patut timbul dalam masyarakat siswa dengan kehendak ingin semua berpegang pada pandangan dan cara kita pegang. Terutama dalam masalah-masalah hukum yang ada khilaf dari pandangan para ulamak dan para ilmuan sejak berzaman. Terkadang perkara masih khilaf di segi hukum terus dikatakan hukum satu perkara yang kita tidak boleh terima dikatakan sebagai haram. Kemudian bila pandangannya tidak diterima oleh mana-mana pihak terus mencerca, melontarkan tohmah dan fitnah. Ditambah pula tohmahannya dari masalah hukum dikaitkan dengan politik dan jemaah.

Begitu juga dengan masalah politik yang dibawa ke dalam institusi pengajian. Bila ada mana-mana siswa tidak menyokong dan tidak ambil tahu masalah politik terus ditohmah sebagai PELAJAR UMNO. Atau bila ada mana-mana golongan siswa yang tidak gemar membincang masalah politik dan tak ambil tahu tentang mana-mana badan parti bukan kerajaan seperti PAS atau PKR contohnya, akan dituduh sebagai pelajar UMNO. Beginikah yang dikatakan golongan educated keterbukaan dan profesional ?

Perkara begini sering berlaku di kalangan mahasiswa. Fitnah dan tohmah adalah sikap orang yang tidak berani dan pengecut berdepan dengan perkara yang ia rasakan tidak berpuas hati pada mana-mana pihak lain. Bila bercakap di depan orang lain hebat dan lantang seperti pahlawan perang dengan diselitkan dengan hujjah-hujjah dari ayat al-quran dan hadis-hadis nabi tapi masih tidak berani berdepan dan bersemuka untuk membentangkan hujjah-hujjahnya pada pihak yang tidak berpuas hati. Apatah lagi bila segala percakapannya dipercayai orang ramai. Dan bila lagi ramai yang percaya lagi banyak fitnah yang direka, akan tetapi tetap tidak berani bersemuka dan memberi hujjah cara berdepan.

Begitu juga dengan masalah lain samada politik dan fahaman ideologi bagi setiap individu memang berbeza..

Kita tidak berhak mengganggu dan menghalang mana-mana individu muslim atas pegangan,prinsip dan cara hidup kecuali akidah yang satu yang wajib dipegang bersama. Contohnya si fulan A ada prinsip hidup yang dipegang olehnya. Dan si fulan B pun ada prinsip sendiri. Si fulan B tidak boleh mengganggu dan menghalang prinsip si fulan A kerana itu adalah prinsipnya. Begitu juga pada sebalik.

Oleh itu fikir-fikirkanlah para ikhwah. Setiap manusia mesti ada perbezaan pegangan, pemikiran dan ideologi. Dan janganlah segala pegangan dan hukum yang khilaf kita mewajibkan semua pihak berpegang pada pandapat yang kita pegang. Selagi ianya khilaf ianya terpulang atas mana-mana pihak untuk membuat pilihan. Jangan terlalu emosi dan cetek pemikiran bila ada pihak yang tidak ikut pendapat yang kita pegang terus kita tohmah dan kita sebarkan bermacam-macam fitnah.

muslimkini tujukan artikel ni khas kepada pelajar-pelajar di Sana`a yaman yang sering buat fitnah dan mengada-adakan cerita palsu di dalam persatuan pelajar malaysia. mereka orang yang berpengaruh dalam persatuan tetapi cerita yang dibawa adalah palsu dan fitnah belaka..

Orang bukan Islam membaca dan berhujjah dengan Al-Quran

Bila timbul isu berkaitan pilihanraya mesti akan timbul berbagai cerita politik dari berbagai sudut. Dari sudut perkauman, agama dan juga budaya.

Antara isu yang menjadi hangat dalam polotik semasa kali ini adalah “orang bukan islam membaca Al-Quran dan juga berdalil dengan Al-Quran”. Sebenarnya perkara ini bukanlah perkara yang baru dan juga bukanlah perkara yang perlu dihangatkan. Cuma bila datang musim pilihanraya macam-macam cerita akan timbul samada cerita dari isu lapok yang berulang ataupun isu yang tidak hangat diperhangatkan.

Orang bukan Islam membaca al-Quran bukanlah satu isu baru dan bukan juga perkara yang baru timbul.. Kalau kita kaji, ramai golongan orientalis yang terdiri dari golongan yahudi dan nasrani sendiri membaca dan juga menghafal Al-Quran malah mereka juga menghafal dan juga mengumpul hadis-hadis nabi. Begitu juga dengan para saintis barat yang bukan islam mereka juga sering mencari bahan bukti sains dari al-quran walaupun mereka tidak menerima Islam sebagai agama mereka. Bila timbul isu begini di Malaysia seolah-olah ramai yang bangkit melenting dan tidak menerima langsung orang bukan Islam membaca al-Quran seolah-olah seperti perkara yang baru wujud di Malaysia. dan yang menjadi hangat lagi apabila isu ini timbul pada waktu kempen pilihanraya sahaja. Kalau bukan musim pilihanraya mungkin tidak menjadi isu hangat dan tidak menjadi perbahasan masyarakat umum.

Mungkin timbul satu perkara yang diperhangatkan lagi adalah dari segi lahn bacaan itu sendiri. Iaitu sebutan huruf dan juga hukum tajwid. Persoalan, Kenapa pada golongan bukan Islam atau bukan melayu yang dipertikaikan ? sedangkan orang melayu yang Islam sendiri pun ramai yang baca al-Quran tak betul lagi dari segi hukum tertib tajwid dan juga lahn. Dan masih ramai lagi membaca dengan bunyi lahn melayu lagi.


Ikhwati fillah…
Bila timbul perkara begini kita sebagai golongan terpelajar tidak perlu tergesa-gesa bangun dan melenting. Sepatutnya kita sendiri perlu kaji dan juga perlu terangkan juga pada masyarakat tentang Al-Quran itu sendiri. Pada golongan mukmin yang membaca al-Quran pasti tidak akan terlepas dari ganjaran pahala. Tetapi bagi golongan bukan islam yang membaca al-Quran walau bagaimanapun mereka tidak akan dapat pahala dan tidak mendapat apa-apa. bezanya di sini disegi ganjaran pahala dan pegangan akidah sahaja. Mereka tetap tidak akan dapat apa-apa kecuali diberi hidayah dalam mengkaji Al-Quran. Dan kita harap juga biarlah golongan bukan Islam yang membaca dan mengkaji al-Quran mendapat hidayah dan terbuka hati mereka untuk menerima Islam sebagai agama mareka..

___________________________________________________

Perbincangan masalah Fiqh :

Dalam satu firman Allah yang berbunyi

لا يمسه إلا المطهرون
“Janganlah menyentuhnya (Al-Quran) kecuali mereka yang dalam keadaan bersuci”

Dan dalam firman Allah yang lain yang berbunyi “ sesungguhnya orang musyrik itu najis”

Dalam firman allah ini kita sendiri nampak kesucian dan kehormatan al-quran. Akan tetapi apakah maksud atau tafsiran dari ayat yang mengatakan hanya yang bersuci bersih sahaja bloeh mnyentuh Al-Quran ?

Di sini ada dua pendapat ulamak tafsir tentang ayat المطهرون di dalam Al-Quran.
Pendapat pertama : mengatakan bahawa ayat tersebut dimaksudkan dengan Malaikat
dan pendapat kedua mengtakan bahawa dimaksudkan dengan manusia.

Bagi yang berpegang pada pendapat pertama, maka boleh menyentuh al-Quran dengan tanpa wuduk. Dan bagi yang berpegang pada pendapat kedua maka perlu berwuduk untuk menyentuh al-Quran. tetapi ayat ini bukanlah menunjukkan ianya wajib beramal iaitu wajib berwuduk untuk menyentuh al-quran walaupun telah didatangkan dalil dari hadis yang diriwayatkan oleh `Amru bin hazim yang mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah menulis “ janganlah menyentuh Al-Quran kecuali yang bersuci” dan dari hadis ini juga timbul perbezaan dan khilaf diantara ulamak fiqh sehingga ramai yang mengatakan tidak wajib beramal dengannya. Namun yang pasti, yang dikatakan “bersuci” itu adalah menyentuh Al-Quran dalam keadaan tidak berhadas besar, tidak berjunub dan juga bukan dalam keadaan haid dan nifas.

Dan dari tafsiran dari ayat kedua pulak yang Allah menyebut “sesungguhnya orang musyrik itu najis” Di sini juga perlu diperjelaskan dengan betul yang dimaksudkan najis itu. Adakah tubuh badan orang kafir tidak boleh disentuh kerana mereka najis ?
kita boleh menyentuh orang kafir seperti bersalam dan sebagainya. Kerana yang dikatakan najis pada mereka itu adalah najis maknawi dan bukan pada bentuk zahir yang ada pada tubuh mereka…

Fidhilat membaca al-Quran :

Disebut dalam satu hadis nabi saw dari `Aisyah r.a berkata, Rasulullah saw pernah bersabda

"الماهر بالقرآن مع السّفرة الكرام البررة, والّذي يقرأ القرآن ويتعتع فيه, وهو عليه شاقٌّ, له أجران"


Rujukan : kitab bidayatul mujtahid wa nihayatul muktasid, Sohih Muslim dan juga hasil catatan dalam kuliyah di Universiti Al-Iman yaman .

Tuesday, October 16, 2012

Kelebihan Hari `Arafah



 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh sekadar perkongsian kepada para ikhwah yang dikasihi sekelian..

 Teringat ana nak sharekan pada  para ikhwah pernah tahu dan pernah dengar berkenaan fadhilat dan keistimewaan hari arafah..

Hari arafah sepertimana yang kita tahu adalah hari ke-9 dalam bulan dzulhijjah dan juga hari yang besar dalam hari2 haji. Hari arafah juga telah disebutkan hari magfirah dan juga hari mustajab doa-doa kita. Hari arafah juga adalah hari yang telah sempurna agama dan juga kesempurnaan anugerah nikmat islam dan juga hari pelesan dari api neraka.

Dalil hari arafah dari al-quran dan al-hadis. 

1. Allah swt telah bersumpah pada hari tersebut seperti di dalam firmannya

 وشَاهد و مشهود surah al-buruj

 Daripada abu hurairah r.a Rasulullah s.a.w telah bersabda

 اليوم الموعود : يوم القيامة، واليوم المشهود : يوم عرفة، والشاهد: يوم الجمعة

2. Allah swt telah berfirman

 “ والشفع والوتر” surah al-fajr

 Ibn Abbas r.a telah menyebutkan didalam kitab tafsir ibn kathir maksud “As-syaf`u” ialah hari adha(hari raya korban) manakala “Al-Watr” ialah hari `arafah.

 3. Turunnya ayat al-quran

 الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا Surah al-maidah.

 Diriwayatkan oleh saidina umar al-khattab r.a ketika turunnya ayat tersebut adalah pada hari jumaat dan hari jumaat tersebut adalah pada hari `arafah

 4. Berpuasa pada hari arafah diampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yanga akan datang. Berdasarkan hadis daripada abi Qatadah r.a berkata : telah ditanya Rasulullah s.a.w mengenai puasa dihari `arafah, lalu baginda rasulullah s.a.w menjawab dengan sabdanya “diampunkan dosa tahun yang lalu dan diampunkan dosa tahun yang depan(selepas)” riwayat muslim. Terdapat juga hadis bagi mereka yang tidak berpuasa tetapi menjamu makan (untuk berbuka) bagi orang yang berpuasa hari `arafah pahalanya adalah sama seperti orang yang berpuasa pada hari tersebut. Berpuasa pada hari `arafah disarankan pada umat islam yang tidak melakukan ibadah haji, manakalh bagi muslimin muslimat yang sedang dalam haji atau di padang `arafah tidak disarankan berpuasa pada hari tersebut.


5. Hari `arafah juga hari mustajab doa dan hari digalakkan kita supaya banyakkan berdoa.. Seperti dalam hadis Rasululullah pernah bersabda : sebaik-baik doa adalah doa hari `arafah, dan sebaiknya dalah apa yang aku sebut dan para nabi-nabi sebelum ku menyebut :

 لا إله إلا الله وحده لا شريك له، له الملك وله الحمد، وهو على كل شيء قدير


6. Hari arafah juga adalah hari diampunkan dosa dan hari pelepasan dari api neraka seperrti dalam hadis.

 قال النبي صلى الله عليه وسلم : ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة

Sunday, January 3, 2010

Bila orang jahil berwatak orang alim

Sudah menjadi kebiasaan dan mentaliti bagi masyarakat melayu apabila melihat orang yang bergaya seperti orang alim dan mempunyai kemahiran dalam bercakap disanjung-sanjung dan digelar sebagai seorang USTAZ.

Kebanyakkan yang akan terpedaya dan tertipu orang-orang seperti ini adalah orang awam yang tidak tahu dan tidak mengenali sendiri bagaimana yang dikatakan orang berilmu,orang terpelajar atau lebih sinonim dengan gelaran orang alim.

Terkadang masyarakat awam terpedaya apabila ada individu yang pernah popular dan glamor dlm bidang bukan agama seperti penyayi rock dan pelakon berubah ke bidang agama. Kita sendiri menghormati dan menyokong dengan perubahan diri dan keinsafan mereka menjadi peribadi agama. Tapi yang menyedihkan apabila golongan seperti ini hanya ingin gelaran sebagai orang agama yang ingin mendapat pengaruh dan kemudian mereka sendiri merosakkan peribadi muslim yang lain.

Kalau mereka insaf terus mempelajari agama dan menyampaikan agama pada orang lain memang kita patut sokong dan menghormati mereka. Tapi sekiranya mereka hanya ingin mendapat gelaran dan merosakkan orang lain,ini akan memberi kerosakan pada pemikiran masyarakat melayu muslim sendiri. Tidak kira golongan ini bercakap di atas politik atau pentas agama di masjid-masjid. Kalau dulu hanya menyanyi terhangguk-hangguk dan melalak di pentas artis dengan memakai pakaian ala rock tapi sekarang hanya mengutuk dan memaki hamun orang dengan memakai jubah dan berserban. Kemudian diselitkan dengan membaca ayat-ayat al-quran dan hadis-hadis nabi. Orang awam terutama masyarakat dari kampung-kampung akan mudah terpedaya dengan golongan ini dan terus memberi gelaran sebagai USTAZ atau dipandang orang yang alim. Apabila orang-orang seperti beralih ke bidang mereka balik, mesti dikaitkan dan dialasankan dengan tugas agama dan ingin berdakwah. Contohnya bekas penyanyi yang berubah menjadi orang agama kemudian beralih kembali ke bidang nyanyiannya. Persoalannya, Adakah dakwah tersebut untuk penyanyi-penyanyi atau masyarakat yang tiada kesedaran agama atau dakwah untuk masyarakat yang sedang belajar agama ikut jejaknya menjadi penyanyi rokc?

Apabila masyarakat menjadikan golongan ini sebagai teladan bagi mereka dan model dakwah bagi mereka, akhirnya akan kata kami nak menjadi penyanyi rock ala islam pasal USTAZ tu kata boleh.

Wednesday, December 16, 2009

Mencari fadhilat dari dalil israiliyat.

Kekuatan Islam yang sempurna dan hebat bagi diri seorang mukmin itu adalah terbina atas dasar iman yang kukuh dan ilmu yang cukup. Ada juga yang tidak berilmu tetapi dapat memupuk iman dengan baik hanya kerana yakin dan taat atas segala perintah yang disyariatkan oleh Allah dan rasul dari segala hukum al-Quran hinggalah hadis-hadis yang warid.

Ikhwati fillah..
Pernahkah kita mendengar cerita-cerita dongeng dan rekaan dari kisah-kisah hidup para nabi,para sahabat dan para tabi'in yang tidak soheh malah cerita rekaan atau israiliyat yang disebarkan di tanah air kita ? adakah ada yang balik mengkaji kesahihan cerita-cerita dongeng dan israiliyat yang kian lama tersebar? siapakah yang menyebarkan cerita-cerita israiliyat dan meyakinkan dengan cerita-cerita tersebut ?

Sirah nabi Muhammad SAW sendiri banyak yang ditambah atas dasar dijadikan hujah bagi amalan-amalan yang khurafat dan tiada pernah wujud di dalam nas yang sahih samada hadis dan al-Quran. Apatah lagi jika kita lihat kisah-kisah sahabat dan tabi`in yang direka-reka dan dibawa-bawa oleh sebahagian graduan agama yang bergelar USTAZ sendiri atas dasar mencari pengaruh dan nak cari duit harian. Kalau kisah-kisah dongeng ini kita dengar masa sepuluh atau dua puluh tahun dulu mungkin tidak hairan kerana mungkin ketika itu kurang lagi pendedahan masyarakat kita ingin membuka fikiran dan mencari kesahihan hadis dan juga kisah-kisah sirah nabi dan juga kisah hidup para sahabat. tapi di zaman sekarang ni pun kisah seperti ini masih lagi disebar-sebarkan dan ditekankan pada masyarakat supaya mempercayainya.

Masyarakat kita di malaysia sekarang dah banyak yang belajar dan terpelajar. bagi mereka yang bergeraduan agama sepatutnya perlu mengkaji betul-betul kisah para nabi dan juga sejarah para sahabat r.a. tidak perlu kita menyampaikan satu cerita berdasarkan kita dengar dari tok guru dulu-dulu dan dari ustaz-ustaz dulu. masih banyak ustaz-ustaz yang diberi peluang bercakap di Radio dan menulis di majalah-majalah menyebarkan cerita-cerita israiliyat dan kisah dongeng yang diadakan oleh orang-orang dulu. terutama cerita-cerita berkenaan bulan-bulan yang mempunyai amalan dan fadhilat yang besar seperti bulan Muharram terutamanya.

Terdetik di hati saya ingin menulis artikel ini apabila ada pihak-pihak individu yang masih menyebarkan cerita-cerita palsu tentang sepuluh Muharram. kalau di Malaysia masih ada sebahagian masyarakat melayu yang masih membesar-besarkan hari sepuluh Muharram dengan membuat bubur `asyura. bila ditanyakan pada mereka kenapa buat bubur `asyura pada hari `asyura sahaja ? ada yang menjawap ini adat melayu, ada yang jawap ustaz-ustaz suruh buat dan yang paling sedih apabila ada yang jawap ini adalah sunnah nabi kita. Kalau kita lihat fahaman seperti ini masih berlaku dalam masyarakat kita, bermakna masih ada ustaz-ustaz yang sengaja menyebarkan fadhilat-fadhilat yang dongeng dan palsu ini. kalau ingin membuat bubur `asyura untuk nak makan mungkin tidak menjadi perbahasan. tetapi hanya ingin membesarkan hari `asura atas dasar dalil sunnah yang direka lagi palsu itu yang menjadi perkara yang perlu kita tolak. seolah-olah seperti kita mengikut cara adat budaya agama lain seperti agama cina yang membuat kuih bulan kerana menyambut perayaan mereka.

Kita harap para graduan agama dan ustaz-ustaz agar dapat membuat perubahan dan tajdid pemikiran masyarakat kita yang masih terpengaruh dengan kisah-kisah israiliyat yang telah tersebar sejak kian lama.

Saturday, December 5, 2009

Tajdid keperluan pada muslimin masa kini

Ada sesetengah pihak agak sensitif bila dengar perkataan tajdid atau pembaharuan Islam dalam zaman sekarang. Mereka merasakan seolah-olah tajdid adalah ingin merubah agama ataupun menambah perkara-perkara baru (bid`ah) dalam agama.

Sebenarnya tajdid yang ingin dibawa oleh ulamak masakini adalah perubahan dalam hal-hal terkini dan masalah-masalah hukum yang banyak disalah ertikan oleh umat Islam sekarang. Kita harus berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam membicarakan sesuatu perkara dengan tanpa emosi dan tanpa jumud.

Sebahagian golongan agama melenting apabila terdengar perkataan tajdid ini. Mereka faham laungan tajdid ini seperti seruan agama baru atau ingin merubah Islam kea rah yang lebih modern dan terkini malah ada yang berpendapat Islam yang ada dari dulu hingga sekarang tidak perlu diubah dan tiada amalan dan kepercayaan yang perlu dibuang walaupun ianya tidak sohih hanya sekadar adat budaya.

Banyak golongan yang masih tidak menyedari bahawa amalan yang dilakukan malah menjadi amalan rutin hariannya adalah perkara yang tidak disyariatkan dalam Islam. Dan ada juga pihak yang melakukan amalan-amalan yang tiada dalam nas al-Quran dan hadis hanya kerana bertaklid dan ikutan seperti beramal sesuatu kerana mak ayah buat atau kerana tok guru melakukan amalan tersebut.

Banyak perkara sunnah yang mempunyai fadhilat dan ganjaran pahala yang besar masih ditinggalkan tetapi amalan yang tiada nas dan juga tiada ganjaran pahala disebar dan dibesar-besarkan.


Tajdid yang ingin dibawa bukanlah ingin menambah dalam perkara ibadat dan hukum-hakam yang telah lama disyariatkan dalam Islam seperti menambah solat subuh dari dua raka`at ke tiga raka`at dan bukan ingin mengurangkan solat isyak dari empat ke tiga raka`t tetapi yang dimaksudkan tajdid yang ingin dibawa sekarang adalah menolak segala perbuatan dan amalan yang tiada dalam nas yang sohih dari al-Quran dan sunnah.

Pendapat Ulamak dalam masalah Tajdid :
Dr Abdul Karim Zaidan seorang pemikir Islam yang kini menetap di Yaman dan juga salah seorang pensyarah di Universiti Al-Iman, beliau juga telah berpendapat bahawa tajdid di masa kini amat perlu dan penting bagi tujuan menegak yang hak dan menolak segala kebatilan. Dan tajdid juga perlu dalam menangani masalah-masalah hukum yang semakin berubah mengikut zaman dan masa terutama masalah-masalah khilaf dan sebagainya. Para ilmuan perlu mahir dan memahami dengan lebih teliti apakah yang dimaksudkan dengan masalah kehendak Islam yang sebenar. Tajdid yang akan dibawa bukanlah menolak atau menambah dari hukum yang telah sedia ada dari al-quran dan hadis tetapi ingin memperjelaskan maksud dan cara sebanar Islam tidak kira ianya dari masalah ekonomi, kebudayaan dan juga ibadat. Dan banyak masalah-masalah terkini dan yang baru timbul sejak kebelakangan ini umat Islam tidak tahu hukum sayr`ie dan juga cara penggunaan yang sebenar terutama masalah syubhah dan masalah-masalah yang tidak jelas. *

Begitu juga pendapat salah seoarang pensyarah di Universiti Al-Iman; Dr Hasan al-Ahdal berkata berpendapat bahawa tajdid pada zaman sekarang telah menjadi perkara yang darurat dan menjadi peranan yang amat besar pada berubahan umat Islam supaya umat islam menjadi lebih terjaga dari perkara-perkara amalan bida`ah yang telah lama tersebar dikalangan umat Islam. Kerana selagi umat islam berdiam dan mendalami Ilmu agama tanpa melihat persekitaran keliling yang semakin hari semakin berubah umat islam sendiri akan tertindas dengan masalah kemungkaran dalaman yang semakin hari semakin bertambah. Tidak kira masalah itu dari masalah moral atau masalah ibadat sendiri. Maka tajdid dari segi menegak kebenaran dan juga mencegah kemungkaran berlandas al-Quran dan sunnah perlu dilaksanakan*


Syarat bagi seorang mujaddid :
-Para Mujaddid perlulah berfikiran terbuka dan tidak jumud dalam melakukan setiap tindakan dan gerak kerja.
-Dan syarat yang perlu ada bagi seorang Mujaddid adalah berilmu dan mantap dalam pengatahuan al-quran, sunnah dan ijmak
-Dan Mujaddid juga perlu professional dan menilai dahulu dari keadaan masa dan keadaan tempat.
- Mujaddid tidak perlu terlalu emosi menyatakan satu hukum atau masalah terutama dalam masalah khilaf.*
-Mujaddid perlu kuasai ilmu dan kefahaman bahasa arab yang mantap kerana sumber hukum-hakam Islam adalah dari sumber Al-Quran dan Hadis-hadis nabi.


* sebahagian petikan Tajdid dipetik dari surat khabar bulanan Universiti Al-Iman "Soutul Iman" keluaran Oktober 2009.

Wednesday, November 4, 2009

"Bergaya macam Ustat tapi suka bawa hasutan jahat"

Bila nak bercerita dan nak berkawan dengan orang tau pelajar-pelajar biarlah tiada unsur-unsur hasutan jahat dan tak perlulah mengapi-apikan di antara satu sama lain. Tidak kira samada cerita itu benar atau cerita rekaan sekalipun. Buat apalah kita nak timbulkan benda-benda tak baik dalam suasana harmoni dan aman. Seolah-olah seronok tengok orang melayu saling membenci,saling bermusuh, bermasam muka dan sebagainya. Seperti sengaja nak cari pengaruh keliling mengatakan cerita yang dibawa adalah benar walau ianya tidak benar. Dan seperti nak timbulkan berpuak supaya ada golongan terasing dari satu golongan lain.


Ikhwati fillah..

Jangan jadi orang yang bertopeng dengan agama tapi kosong dari tarbiah dan dakwah.
Jangan hancurkan ikatan dan suasana ukhuwah islamiah hanya dari diri kita yang mempunyai masalah hati yang terhasut dengan syaitan. Nak mencari pengaruh atau nak berkempen sekalipun biar kena dengan cara Islam dan penuh misi ukhuwah.
Jangan berwatak orang pro agama dengan memakai jubah, berserban, berkopiah putih, berjangkut tapi bawa cerita-cerita palsu dan mengapi-apikan orang lain. Biarlah orang lihat perwatakan dan imej kita bersesuaian dengan sikap dan akhlak kita. Jangan sampai orang kata "Orang tu bergaya macam ustaz dengan berjubah, berkopiah putih, berjanggut, hari-hari kilik kitab tapi suka menghasut dan mengaibkan orang lain".

Biarlah seseorang itu beza jemaah, beza bangsa, beza mazhab, beza aliran, beza parti dan tak sertai persatuan sekalipun namun agama dan akidah Islam yang dipegang tetap sama.

Firman Allah yang berbunyi :

إنَّمَا المُؤمِنُونَ إِخوَةٌ فَأَصلِحُوا بَينَ أخَوَيكُم, واتَّقوا اللّه لعلَّكم تُرحَمُون

" sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara maka damaikanlah diantara saudara-saudaramu. Dan takutlah pada Allah agar kamu menjadi golongan yang dikasihi"




Ikhwati fillah…
Cuba sama-sama buat satu inisiatif pada masyarakat bagaimana nak bawa satu wadah perubahan umat untuk menyatukan dan jalinkan ukhuwah islamiah di antara rakyat Malaysia. Ukhuwah Islamiahlah menjadi satu ikatan akidah yang wajib dipelihara oleh semua umat islam. Menjaga ukhuwah bukan benda biasa dan bukan benda yang boleh dianggap kecil. Berdosa kalau kita penyebab perpecahan ikatan ukhwah Islamiah dalam masyarakat muslim. Sebab itu Rasulullah banyak bertegas dalam hadis-hadisnya tentang pelihara ukhuwah sehingga Rasulullah mengatakan orang yang pemutus silaturrahim adalah ahli neraka. Dan menjaga ukhuwah jugaklah salah satu ibadat dalam membina iman dan taqwa pada diri.

Kita semua sama sahaja.. dijadikan dari rumpun yang sama dan kita akan kembali pun di tempat yang sama. Yang beza hanya amalan kita yang akan dihisab sahaja.. kalau baik maka tempatnya pun baik. Dan kalau sebaliknya sama-sama kita mohon keampunan dari Allah swt. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan…
Jangan memburukkan dan mengaibkan satu individu atau golongan lain. Tak semestinya kita ni hebat dan kita ni baik, kita anggap orang lain serba kurang dan orang lain tidak baik.
Jangan anggap kalau seseorang itu dalam puak kita atau menyebelahi kita, baru kita kata dia baik. Kalau orang tu tak menyebelahi kita atau tak sependapat dengan kita, kita buruk-burukkan dan aibkan dia. Sehingga terkadang ada yang berpegang "jangan berkawan dengan si fulan tu, dia tak separti dengan kita" Atau "jangan rapat sangat dengan si fulan tu pasal dia bukan ahli persatuan"

Biarlah kita sebarkan perkara-perkara baik pada orang lain. Cuba sebukkan diri kita dengan baca al-Quran, bermutala`ah kitab dan sebagainya. ataupun bila jumpa kawan-kawan bincang hal ilmiah, bincang masalah-masalah isu dunia yang berlaku sekarang.

Apabila akidah agama yang murni dipegang oleh semua umat Islam maka ikatan ukhuwah Islamiah wajib dipelihara sebaik-baiknya…

# Sengaja boldkan sebahagian tulisan, pasal nanti ada yang baca tajuk dan tak baca isi.